Saturday 9 March 2013

Aku Cinta Dia


Rasa bersalah menghantui aku, tidak dapatku lenakan diri setelah rasa itu menghukum aku. Betapa bodohnya diriku seringkali menyakiti hatinya. Tanpa sedar aku telah menggores hatinya dengan tinta-tinta cemburu buta. Bahkan aku sendiri yang merana kerana terus membiarkan prasangka yang tiada kesudahan menusuk ke relung hatiku. Sepatutnya aku harus percaya dia. Aku diwajibkan untuk menjadi seorang yang baik, bahkan aku mesti menggembirakan dan membahagiakan dirinya.

Oleh kerana satu kesilapan maka hati yang suci itu tercarik, robek dan ia seolah-olah tidak mungkin sembuh lagi. Jangan begini sayang... abang tetap mencintaimu kerana abang tidak mahu kita berpisah. Saban hari abang merasa kemelut ini menyeksakan. Abang tidak boleh meragui cintamu terhadapku.

Kalau aku diserang rindu, maka telefon yang kugapai untuk menghubunginya. Dan hari ini satu virus yang sangat menyakitkan adalah jiwa aku sendiri yang tidak bisa melupakannya walau untuk sesasaat. Bayangkanlah, dari malam tadi aku tidak bisa tidur hanya kerana diburu rasa bersalah. Aku tahu aku bersalah tentang apa. Biarlah aku berani menyuarakannya. Aku bersalah kerana selalu cuba menyalahkan dirinya yang tak bersalah. Dia sayangkan aku, tetapi kenapa aku patut meraguinya sedangkan dia lakukan yang terbaik untuk aku? Itulah aku lelaki yang tak tahu menghargai. Terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak bicara memang benar buruk padahnya.

Aku bukanlah lelaki yang kaya raya, aku bukanlah lelaki yang kacak bergaya, malah aku tidak punya apa-apa. Sepatutnya aku perlu berterima kasih kepadanya yang menerima aku seadanya tetapi ini balasan aku pada dia? Aku selalu buruk sangka. Aku selalu buat dia menderita. Namun, di dalam lubuk hati kecil ini tidak sanggup aku kehilangannya.

Di kamar aku berbaring meratapi potret kami. Di kamar ini aku lihat anak patung itu, aku lihat juga gambar-gambar yang ada di dalam telefon bimbitku. Tanpa aku sedar, air mata menitis. Akan ada harapan lagikah untuk aku dan dia bersama? Aku dan dia jauh. Aku di sini, dia di sana. Cinta kami begitu banyak teruji. Biarlah aku meluahkan dengan cara begini agar dia tahu betapa aku mencintainya. Jika keadaannya begini, aku sudah tidak bisa melangkah, laluanku seolah-olah berliku.

Aku mengambil masa terlalu lama untuk membuka hati, sehingga bertemu dia di dalam laman sosial aku jatuh hati. Mengambil masa berbulan-bulan mengintai dia dalam diam, mencintainya dalam diam, menyayanginya dalam diam namun hati takut untuk bertanya. Itulah detik pertama ku lihat dia. Bukan mudah untuk memikatnya, tetapi meendengar tawanya, aku jadi girang. Mendengar suaranya aku jadi hilang, hanyut di dalam hayalan mengintai tirai bahagia. Namun siapa sangka, di sebalik keriangan hidupnya itu terkunci satu ruang yang sempit. Ruang yang menyeksakan dirinya yang tidak bisa aku sebutkan di sini. Betapa dia kuat, betapa dia sabar dan tabah. Sungguh terkesan di dalam hati ini.

Dari situ aku belajar mengenalinya, cuba mengerti kehidupannya. Aku menggadai waktu hanya untuk mengenal pasti adakah dia jodohku. Tersurat dalam hati, dia yang kucintai. Penantianku berbalas cinta. Tanggal 5 Mei 2012 adalah tarikh keramat cinta kami. Tetapi ia goyang kerana jarak. Namun, dia lebih hebat kerana lebih terbuka mindanya berbanding aku yang sempit dan tidak langsung matang dalam menilai keadaan dirinya sekarang.

Mungkin dia perlukan waktu, dia ada perkara yang mesti diuruskan. Aku perlu bersabar dan kuat. Dugaan cinta jarak jauh mungkin begini. Sebenarnya ia memang mencabar. Aku tidak tahu bagaimana pemikiran orang lain terhadap situasi ini. Bagi aku, aku masih setia di sini. Apa yang aku mahu hanyalah dia. Kalaulah dia mengerti aku, pasti dia akan balas pesanan dariku. Akan tetapi, aku perlu positif. Baterinya barangkali habis. Atau dia sedang dilanda resah? Apa harus kau lakukan? Mendiamkan diri atau terus melakar asksara luahan ini? Ada sesiapa ke yang faham? Barangkali tidak. Hanya diri sendiri yang mesti memahaminya. hurm...

Kalau boleh, aku mahu terus berada di sampingnya,. menyuap dia makan, memandikan dia, malah tidur pula sering berdakapan. Aku mahu lihat dia hari-hari di mataku. Memang hari-hari aku melihatnya, hanya di dalam foto. Aku dakap foto itu, bahkan aku kucup beberapa kali. Jika semakin rindu, aku peluk anak patung hadiah daripadanya. Rindu lagi? Aku akan peluk apa sahaja yang pernah diberikannya pada kau. Tetapi aku tidak mampu untuk melepaskan kasih sayangnya.


Sayang... masihkan ada ruang untuk abang bertakhta di hati sayang? Abang tidak mahu dengar ada orang lain di dalam hati itu. Abang hanya mahu, hanya abang. Cuma... abang patut sedar, hati tak boleh dipaksa. Kalau ada bicara yang menyakitkan hati, ampunkan abang sayang... biarlah sayang mahu kata abang meroyan sekalipun, ya, abang meroyan kerana abang sanggup lakukan apa sahaja untuk sayang. Kalau sayang minta abang berdiri tengah panas dan hujan pun abang sanggup demi membuktikan cinta abang pada sayang.

Hati yang terpilu tidak dapat menemaninya. Dia pernah menyatakan padaku, dia mahu seperti orang lain. Pergi jalan sama-sama. Tengok wayang sama-sama, makan sama-sama. Tapi aku tak tahu kenapa akus edih? Mungkin kerana jarak. Masa aku untuk dia adalah terhad kerana masing-masing ada tanggungjawab dalam kerjaya. Aku dalam bidang komputer, baru belajar berniaga. Dia dalam bidang pendidikan, hari-hari berhadapan dengan masalah pelajar. Dugaan dia lebih hebat, komitmen dia lagi besar berbanding aku yang hari-hari lelah. Lelah memikirkan cara untuk aku menemaninya.

Tiada lain yang aku harapkan adalah keampunannya. Memberikan aku peluang untuk menjernihkan keadaan. Tidak sanggup aku berjauhan hati dengannya. Aku tidak mahu menguji kesetiaannya. Jika dia untuk aku, dia akan kembali pada kau, jika tidak? Walau macam mana perit pun aku kena belajar dan memahami erti kehilangan. Betapa perit berhadapan dengan perpisahan yang pastinya tiada siapa yang mahukannya.


Katakanlah rindumu padaku, katakan akulah yang kau cinta

katakanlah aku yang bersalah, katakan aku yang bingung
katakanlah aku yang tak mengerti bahawa kau sayang aku
ucaplah bahawa aku tidak bertanggungjawab, 
bicarakan dan butirkan masalahmu,
tunjukkan aku jalan rindumu agar aku bisa bertemu kamu
tujukan kasihmu padaku biar aku sentiada dipelukanmu...



Semoga rakan-rakanmu mengerti kamu, semoga rakan-rakanmu bisa menerima aku yang tidak sempurna. Semoga rakan-rakanmu teguhkan hatimu, semoga rakan-rakanmu tidak membinasakan cintamu dan cintaku, semoga rakan-rakanmu memaafkan aku, semoga rakan-rakanmu memujukmu dan aku, semoga rakan-rakanmu tersenyum melihat bahagiamu dan bukan deritamu. Semoga segalanya aman sayang...

Bila aku buka mata, aku hanya bayangkan kau selalu ada... biarlah luahan ini terkunci di sini. Semuanya kesalahanku.... Abang sedar abang banyak buat silap. Ampunkan abang sesungguhnya abang manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Abang akan berjuang selalu memujuk sayang agar sayang terpujuk dan selalu dalam dakapan cinta dan kesetiaan abang untuk sayang. Abang tak ada apa untuk diberikan pada sayang. Abang hanya ada hati. Hati ini selalu ingat padamu. Hati ini ingin selalu dekat denganmu.

Abang ada kesetiaan untuk sayang, itulah harta yang abang jaga. Kalau ia sebuah harta yang tak bermakna buat sayang, ampunkan abang kerana ia tak dapat ditukar ganti. Abang tiada kekayaan untuk membahagiakan sayang tapi abang ada satu pusaka warisan yang abang tak akan berikan kepada orang lain iaitu hati sayang. Hatimu adalah nilai kesetiaan buat diri ini. Kalau hati itu terlepas pada orang lain maka ia satu kerugian. Kalau cinta abang seringkali sayang uji, abang sudah tidak tahu nak kata apa lagi. Abang juga tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan abang. Abang tidak tahu bagaimana hidup abang tanpa sayang. Mungkin abang akan mendiamkan diri untuk 5 tahun lagi atau seterusnya, atau abang akan kahwin tanpa rela. Sesungguhnya hati abang tiada pada gadis itu mahupun pada orang lain. Abang memilih kamu walaupun kita tak boleh kahwin.


Betapa diri ini terseksa untuk memilih antara dia dan dia tetapi abang lebih memlih kamu kerana abang mencintai kamu sepenuh hati walaupun ada yang kata abang bongok. "PLU ni bukan betul pun. Semua PLU tak boleh dipercayai." Iaitu hanya kata-kata yang tiada setia. "Mana ada PLU setia dalam dunia macam ni?" Itu kata mereka yang tak yakin pada kasih dan sayang orang lain. "PLU boleh janji macam-macam tetapi haram tak ada." Itu bicara mereka yang berputus asa. Abang tidak mahu menilai seperti itu kerana dalam setangkai cinta yang dihulurkan, takkan tak ada satu pun yang bersinar? Pasti ada sayang, pasti ada yang sebaliknya yang mampu untuk jujur dan setia. Dan insan itu adalah awak.

1 comment: